Tanaman Tebu
Keistimewaan tanaman tebu
Artikel dan gambar NORZAINURA ABDUL MAJID
RAMAI petani masa kini, tidak berminat untuk menanam tebu dan beralih kepada tanaman lain yang dianggap lebih menguntungkan.
Tanpa mereka sedari sebenarnya tebu lebih mudah untuk ditanam dan boleh mendatangkan hasil lumayan yang berterusan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.
Ini terbukti dengan peningkatan jumlah eksport tebu ke Singapura yang meningkat pada setiap tahun.
Bermula tahun 2004 dengan nilai eksport RM3.04 juta, ia berkembang hingga mencecah angka RM5.8 juta pada tahun 2007. Untuk tiga bulan pertama tahun tahun lalu sahaja, nilai eksport tebu ke negara jiran itu telah mencecah RM1.5 juta.
Justeru, bagi memastikan pembangunan industri tebu terus berkembang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membina Kompleks Pengumpulan Ladang bagi komoditi tebu di Batu Pahat, Johor.
Ia dibina di Lot 3421, Jalan Persekutuan Muar - Batu Pahat, Mukim 1 Lubok, Semerah Batu Pahat dengan kos RM4.5 juta dan telah beroperasi sejak awal tahun ini yang mana Purecane Manufacturing Sdn. Bhd. bertindak sebagai pengeksport.
Kompleks pertama
Ia merupakan kompleks pertama seumpamanya di negara ini bertujuan menyediakan kemudahan, peluang dan tempat rujukan kepada penanam-penanam tebu dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Ia menguruskan pengendalian tebu segar untuk tujuan eksport atau pasaran tempatan, pemprosesan tebu segar, pembungkusan dan penggredan.
Secara tidak langsung, kehadiran kompleks itu memberi impak positif kepada pengeksport, pemborong dan petani-petani di negeri-negeri terbabit serta mampu meningkatkan lagi hasil pengeluaran tebu negara.
Penubuhan kompleks itu juga bermatlamat untuk menggalakkan program pakatan pintar dan kerjasama antara sektor swasta dengan agensi kerajaan khususnya FAMA bagi membangunkan lagi industri tebu tempatan.
Selain itu, kompleks yang terletak di kawasan seluas 0.8 hektar itu juga bertujuan untuk menerapkan teknologi moden dan kendalian lepas tuai tebu segar selaras dengan keperluan semasa .
Ia juga memudahkan pihak berkuasa memberi pengiktirafan sijil Euregap, piawaian AVA Singapura dan lain-lain pengiktirafan.
Kompleks berkenaan dijangka dapat membantu pihak kerajaan dalam usaha menjadikan pertanian sebagai pendapatan negara dan menjadi pemangkin kepada individu terbabit agar lebih maju dan aktif.
Penubuhan kompleks berkenaan juga dapat meringankan beban pengeksport yang tidak berupaya menyediakan tempat pemprosesan mengikut tahap piawaian bagi tujuan pengeksportan yang mana Singapura adalah pasaran tradisi tebu Malaysia.
Pembinaan kompleks tersebut juga mampu meningkatkan pengetahuan di kalangan orang ramai terutama petani, pengeksport, pengusaha industri, untuk menjadikan pusat ini sebagai rujukan yang khusus mengenai tebu.
Pegawai FAMA Batu Pahat, Abd. Rahman Mohd. Nor berkata, FAMA telah memperkenalkan konsep ladang kontrak untuk tebu ini buat julung kalinya dengan melibatkan kira-kira 60 petani dari Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman Ladang Kontrak Tebu antara FAMA, petani dan pengeksport tebu Purecane Manufacturing Sdn. Bhd. telah diadakan tahun lalu.
Kompleks itu, katanya, membolehkan FAMA mendapat bekalan berkualiti secara berterusan untuk pembekalan kepada pelanggan, manakala petani mendapat jaminan pasaran sementara pengguna mendapat produk berkualiti.
Sekali gus, katanya, FAMA dan pengeluar bersetuju mampu mengeluarkan produk pada kualiti, kuantiti, jenis, pembungkusan, gred dan masa yang dipersetujui bersama mengikut peraturan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan).
Tambahnya di daerah Muar kawasan tanaman tebu adalah 173 hektar ,manakala di daerah Batu Pahat ialah 22.6 hektar. Ia terletak antara lima hingga 18 kilometer dari pusat pengumpulan tebu dan terdapat tujuh pengeksport tebu ke Singapura bagi daerah Muar dan Batu Pahat.
Pengurus Purecane Manufacturing Sdn. Bhd., Yumi Chee berkata, setiap hari sebanyak 10 tan tebu diperlukan untuk dieksport ke Singapura dan ia akan bertambah pada hari cuti umum atau perayaan iaitu peningkatan hingga 20 tan sehari.
Menurut Yumi, pihaknya juga sedang berusaha untuk memasuki pasaran Asia Barat dan perbincangan mengenainya telah pun diadakan.
Bagaimanapun, katanya, 30 tan tebu diperlukan setiap hari untuk di eksport ke Asia Barat tetapi bekalan tebu pada masa ini tidak mencukupi memandangkan para petani kurang berminat untuk menanam tebu.
Buat masa ini katanya, bekalan yang ada hanya cukup untuk di eksport ke Singapura dan yakin hasrat untuk eksport ke Asia Barat akan berjaya sekiranya para petani dapat membantu dengan menanam tebu secara komersial.
Menurut Abd. Rahman, FAMA sentiasa memberi ruang dan peluang kepada petani untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai penanaman tebu melalui kursus-kursus yang dijalankan oleh agensi itu.
Setakat ini katanya, beberapa kursus mengenai tebu telah dibuat dan sambutan amat menggalakkan, tetapi kebanyakannya daripada golongan petani yang telah berusia. Untuk itu FAMA kini sedang berusaha untuk menarik golongan belia menyertai pertanian secara aktif.
Tambahnya lagi modal yang diperlukan untuk memulakan penanaman tebu secara komersial ialah RM20,000 untuk satu ekar dan penjagaannya tidak cerewet serta mudah untuk diuruskan.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin menyeru agar para petani di sekitar DUN Semerah mengambil peluang yang ada dengan menanam tebu kerana pusat pengumpulan tebu yang di bina di Semerah ini merupakan yang pertama di Malaysia dan bekalan sentiasa diperlukan setiap hari.
Ariss yang melawat pusat pengumpulan tebu itu bersama para pegawai FAMA baru-baru ini melahirkan rasa teruja dengan adanya pusat pengumpulan tebu itu yang pastinya dapat menaikkan nama Batu Pahat.
04 AUGUST 2009
Kenaf sumber industri baru
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
nisa.sulaiman@utusan.com.my
SELEPAS lapan tahun menjalankan kajian mengenai kenaf, kini Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan pakej teknologi bermula dengan penanaman sehingga kepada produk akhir biokomposit.
Kajian yang dijalankan mendapati kenaf sesuai ditanam di kebanyakan kawasan di negara ini dan beberapa langkah telah diambil bagi mengkomersialkannya di pantai timur terutama di Kelantan dan Terengganu.
Ketua Penyelidik Kenaf dan Pengawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri MARDI, Mat Daham Mohd. Daud berkata, projek di Kelantan termasuk penanaman dan pengeluaran Kenaf Polymer Composite (PKC) iaitu hasil teknologi yang dijana MARDI.
"Buat masa ini projek berkenaan dilaksanakan secara kerjasama dengan Projek D'Raja Kelantan (PDRK)," katanya.
Mat Daham berkata, PKC dihasilkan daripada adunan serbuk kenaf, resin plastik dan bahan tambahan bagi menggantikan produk kayu dan mempunyai banyak kegunaan di dalam industri pembinaan dan automotif.
Permintaan produk komposit dari bahan asli amat memberangsangkan terutama di negara maju dan produk kenaf amat di kehendaki.
"Buat masa ini pasaran produk kenaf telah pun wujud dan petani tidak mempunyai masalah memasarkan tanaman kenaf apabila kilang PKC beroperasi dalam masa terdekat," katanya.
Ladang
Kata Mat Daham, teknologi pengeluaran kenaf untuk dijadikan bahan komposit bermula dari ladang.
Beliau yang ditemui di pejabatnya berkata, teknologi yang diperkenalkan oleh MARDI membolehkan semua bahagian pokok kenaf digunakan secara optimum tanpa banyak pembaziran.
"Teknologi ini tidak memerlukan petani memproses kenaf untuk dijadikan serat seperti operasi pengeluaran kenaf biasa yang melibatkan proses reting yang memakan masa dan melibatkan kos tinggi," katanya.
Kaedah ini hanya melibatkan kenaf dipotong dan dicincang dalam satu operasi ladang menggunakan mesin khas dan boleh dibawa terus ke kilang untuk diproses.
"Semua proses di peringkat ladang menggunakan mesin sepenuhnya.
"Ini membolehkan petani melakukan aktiviti-aktiviti sampingan lain yang boleh meningkatkan pendapatan sampingan," katanya.
Proses menghasilkan PKC profil atau palet melibatkan beberapa aktiviti.
Kenaf yang sudah dicincang dari ladang dibawa ke pusat pengumpulan untuk dijadikan bahan mentah yang sesuai bagi menghasilkan bahan komposit.
Di pusat berkenaan, proses pertama adalah untuk mengeringkan bahan kenaf ke tahap kelembapan tidak lebih 10 peratus.
Pada peringkat pertama pengeringan boleh dilakukan menggunakan tenaga suria bagi mengurangkan kos sebelum menggunakan ketuhar khas di peringkat kedua.
Kemudian bahan kenaf yang telah dikeringkan dikisar menggunakan penyiat khas ke tahap kehalusan tertentu.
Serbuk kenaf yang dihasilkan diadun dengan bahan resin polimer seperti Polyethylene (PE), Polypropylene (PP) atau Polyvinyl Chloride (PVC) bergantung kepada kegunaan KPC.
Bagi memastikan bahan polimer bercantum dengan kuat dengan bahan kenaf beberapa jenis coupling agent (agen pengikat) ditambah.
Jenis bahan tambah yang digunakan bergantung kepada kegunaan serta kekuatan yang diperlukan produk akhir.
"Misalnya jika KPC digunakan di tempat terdedah dengan cahaya matahari, bahan pencegah sinar ultra ungu (uv) perlu dicampur untuk ketahanan produk.
"Bahan anti kulat juga boleh ditambah mengikut kesesuaian dan permintaan pelanggan.
"Komponen kenaf di dalam KPC boleh mencapai sehingga 70 peratus dan selainnya bahan resin dan campuran," katanya.
Adunan kenaf, resin dan coupling agent dimasukkan ke dalam acuan seperti semperit pada suhu antara 170 hingga 190 darjah Celsius untuk menghasilkan profil KPC.
Profil yang keluar daripada acuan semperit disejukkan dengan air sebelum dipotong secara automatik mengikut panjang profil yang ditetapkan.
Bentuk profil yang dikeluarkan, kata Mat Daham, bergantung kepada kegunaan dan warna yang ditetapkan sewaktu pemprosesan dan kekal sehingga dijadikan barangan dan tidak perlu dicat.
Katanya, teknologi KPC sedang dalam proses pengkomersialan dengan kerjasama PDRK dan sebuah syarikat swasta.
"Dalam projek ini, MARDI bertindak sebagai pakar rujuk dan pakar runding dalam pemindahan teknologi dari ladang hingga ke pemprosesan di kilang.
"Buat masa ini, kilang KPC sedang dalam pembinaan di Kelantan dan mesin telah dipasang mengikut spesifikasi MARDI," katanya.
Kata Mat Daham, proses pengeluaran KPC di luar bandar bakal mewujudkan industri nilai tambah hasil pertanian hasil usaha petani seperti saranan kerajaan.
Justeru sebagai salah satu cara menggantikan tanaman tembakau, petani telah mendapatkan pasaran bagi tanaman yang diusahakan.
"Ini merupakan projek pertama di negara ini dan boleh dijadikan model untuk mengembangkan lagi tanaman kenaf dan penggunaan KPC dalam industri.
"Buat masa ini kenaf dikenal pasti bagi menggantikan tanaman tembakau di Kelantan dan Terengganu," katanya.
Pasaran bagi kenaf buat masa ini, kata Mat Daham, tertumpu kepada pasaran seberang laut di mana produk komposit daripada serat asli semakin popular dan kebanyakan pasaran tertumpu ke Australia, Jepun, Asia Barat dan Eropah.
Manakala promosi di pasaran tempatan sedang digiatkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Mat Daham menambah, industri penanaman kenaf berpotensi menjana kegiatan ekonomi berasaskan pertanian di kawasan luar bandar dan menggalakkan penambahan nilai produk petani yang dijual di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Projek pengeluaran kenaf dan KPC merupakan hasil penyelidikan MARDI dalam pengkomersialan teknologi bagi membangunkan ekonomi negara.
Industri kenaf boleh berdaya maju jika terdapat teknologi hiliran yang sesuai untuk dibangunkan bagi mengeluarkan produk nilai tambah di pasaran global.
Produk kenaf dikategorikan mesra alam dan boleh diperbaharui memandangkan kitaran hidup kenaf hanya tiga hingga enam bulan.
Mat Daham menegaskan ini merupakan peluang yang perlu diambil bagi memajukan tanaman kenaf di negara kerana ia mempunyai kelebihan dari segi cuaca yang sesuai dan boleh ditanam sepanjang tahun.
10 MARCH 2009
Ahmad Si Penanam Cili part 1
Pada cuti maulidur rasul baru ini wartawan usahawantani.com telah berjaya menjejaki Ahmad Si Penanam Cili untuk mengetahui perkembangan terkini ladang cili beliau . Malangnya kedatangan kami ke ladang Ahmad telah terlewat dua hari kerana Ahmad baru sahaja menebang pokok-poko cilinya . Apabila ditanya kenapa , Ahmad mengatakan bahawa pokok cili yang ada diladangnya sekrang sudah tidak ekonomi untuk di teruskan penjagaanya . Hasil sekarang ini hanya lebih kurang 50kg sehari dan gred cili juga sudah jatuh ke gred B dan C yang menyebabkan harganya yang rendah diambil oleh pemborong , kos pembajaan dan kawalan serangga dan kulat yang tinggi juga sudah tidak ekonomik untuk dipertahankan pokok tersebut . Ketika ditemui Ahmad dan 6 orang pekerjanya sedang sibuk meracun rumpai di tapak asal pokok cili tersebut dan memasang pagar baru. Menurut Ahmad , beliau baru sahaja selesai menanam sebanyak 4000 anak pisang diantara batas pokok cili tersebut dan diatas bataas tersebut akan ditanam dengan labu f1 dalam sehari dua lagi.
Disekeliling ladang beliau banyak sekali pohon cili yang telah ditebang dan menunggu kering untuk dibakar bagi memastikan kulat dan virus tidak membiak dipokok cili tersebut .
Disebelah ladang beliau sekarang ini terdapat dua buah traktor sedang sibuk membajak tanah dan membuat batas . Dianggarkan dalam 5 ekar . ketika ditanya Ahmad mengatakan bahawa beliau akan menanam cili kulai yang sedang beliau semai sekarang ini di tapak tersebut . Kami juga meninjau sekitar rumah semaian dan mendapati hampir 15,000 pokok cili sedang disemai disitu .
Ahmad juga telah membawa kami meninjau ladang kawannya disebelah yang telah ditanam pokok bendi yang berkeluasan sekitar 5 ekar . Pokok bendi kepunyaan En Bakri itu sedang mula berbunga dan dijangkakan dalam tempoh sebulan dua akan mula mengeluarkan buah dan boleh dituai.
Selepas itu Ahmad telah membawa kami ke satu lagi ladangnya yang berkeluasan sekitar 6 ekar yang juga baru sahaja selesai dibajak tapi belum lagi dibuat batas kerana hujan pada hari sebelumnya menyukarkan traktor untuk membuat batas . Disini Ahmad berkata bahawa beliau akan menanam pokok terung bulat yang saya lihat disemai di tapak semaian beliau disitu yang sudah berusia 1 bulan dan siap sedia untuk dialihkan ke atas batas-batas.
Dalam perjalanan pulang kami telah dibawa meninjau ladang pisang berangan kepunyaan En Bakri yang telah berbuah.
Marilah kita berdoa semoga usaha Ahmad dan rakan-rakannya ini akan terus berjaya seperti tanaman cilinya pada musim pertama dahulu.
Seperti usahanya yang pertama dahulu pada kali ini Ahmad juga berkongsi ladang ini dengan rakannya Abdul Latif Yusof dan Ahmad Shukeri Idris .
16 FEBRUARY 2009
Ahmad Berjaya sebagai Petani Separuh Masa
Ahmad bangga dan yakin dengan hasil cili merah yang diusahakan di Pulau Tawar,Jerantut, Pahang . Walaupun tidak mempunyai latarbelakang yang formal dalam bidang pertanian tetapi tindakan Ahmad Yahya, 38, untuk menjadi usahawan tani seprauh masa sedikit sebanyak dapat menepis anggapan masyarakat terhadap bidang pertanian.
Mendapat ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Malaysia , Ahmad mula mengusahakan ladang sayurnya secara separuh masa sejak awal 2008 di atas tanah yang dipajak dari orang kampung seluas enam ekar di Kampung Perian , Pulau Tawar, Jerantut ,Pahang
Menceritakan pahit getir bergelumang dalam bidang pertanian khususnya penanaman sayur secara konvensional selama satu tahun, Ahmad berkata, mereka yang mahu bergiat dalam bidang ini perlu mempunyai semangat yang kuat.
"Dalam tempoh setahun ini dua kali saya terasa amat putus asa dan berfikir untuk mengalah dan meninggalkan segalanya.
"Tetapi pihak pembekal benih , pembekal racun dan baja serta pemborong dan rakan-rakan banyak memberikan khidmat nasihat dan galakan kepada saya sehingga saya ke peringkat sekarang," katanya semasa ditemui di ladangnya di Pulau Tawar , Jerantut Pahang, baru-baru ini.
Ahmad melahirkan rasa terharu dengan syarikat-syarikat pembekal benih dan racun yang banyak memberikan galakan walaupun beliau mengalami pelbagai masalah ketika itu.
Galakkan dan sokongan daripada ahli keluarga dan rakan terutama ibu sentiasa menjadi pendorong untuk terus berjaya.
Setelah berjaya mengharungi pahit maung dalam bidang pertanian, kini beliau yang telah menyewa 10 ekar ekar lagi tanah di sebelah ladang sekarang untuk menanam tanaman berpara seperti terung bulat, bendi dan cili .
Bermula dengan menanam cili kini Ahmad mula melangkah kepada penanaman sayuran lain pula . Mengaplikasikan kepakarannya dalam kejuruteraan dalam pertanian, Ahmad banyak mengumpul data-data hasil ladangnya.
"Data yang saya dapati saya bandingkan dengan data daripada MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan Jabatan Pertanian dan FAMA dan rakan-rakan dalam bidang yang sama.Jika terdapat perbezaan ketara, saya akan cuba mencari puncanya.
"Setiap pagi saya akan meninjau kebun dan melihat apa yang tidak kena sama ada serangga, virus atau bakteria," katanya.
Dengan cara ini, Ahmad dapat mengetahui lebih lanjut mengenai makhluk perosak serta racun perosak yang sesuai digunakan.
Memegang pepatah Inggeris, 'tidak mengumpulkan telur dalam satu bakul,' Ahmad mengusahakan pelbagai jenis tanaman sebagai persediaan jika sesuatu berlaku pada satu-satu tanamannya.
Ini juga merupakan satu langkah supaya pendapatannya berterusan sementara menunggu tanaman lain mengeluarkan hasil.
"Bagi saya pertanian adalah satu perniagaan," katanya yang memulakan pertanian menggunakan modal daripada simpanannya sendiri.
Baginya setiap tanaman mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri misalnya bendi dikatakan tanaman paling mudah ditanam tetapi harganya pula agak murah. Cili merah yang mempunyai harga yang tinggi tetapi penjagaannya agak sukar dan memerlukan tenaga buruh yang ramai bagi tujuan memetik.
Ahmad juga menjalankan strategi merekodkan dan mengumpul semua harga sayuran di pasaran bagi membolehkannya memantau harga di masa akan datang. "Mainan harga sudah menjadi asam garam hidup sehingga saya mengambil inisiatif memantau dan merekodkan harga sayuran setiap hari. "Ini bagi memastikan saya boleh mendapatkan tanda aras harga setiap sayuran dan boleh menjualnya dengan harga yang berpatutan," katanya yang bercita-cita membesarkan lagi ladang sayurnya.
Menjalankan trial and error dalam pertanian selama setahun tahun menjadikan Ahmad lebih matang dalam mengharungi industri tanaman. Beliau yang amat peka dengan apa yang berlaku di ladangnya tidak pernah memohon mana-mana pinjaman selama membuka ladang sayur-sayuran. "Sejak awal saya mengeluarkan wang poket sendiri untuk menguruskan ladang ini dan saya masih belum menganggap diri saya berjaya. "Saya berharap suatu hari nanti, pekebun sayur akan dapat hidup mewah dengan hasil jualan sayur mereka," katanya.
Ketika ditanya adakah beliau akan berhenti kerja dan menumpukan sepenuh masa kepada bidang pertanian , Ahmad berkata masa akan menentukan tetapi kerjaya dalam bidang kejuruteraan satelit yang diceburi sekarang ini amat diminatinya .